Rancang Kewangan dengan Cara yang Betul
Perancangan kewangan merupakan langkah pertama untuk mengurus kewangan anda. Dalam merancang ini terdapat beberapa langkah yang perlu diambil dan perlu anda ketahui:
Menetapkan Matlamat
Matlamat kewangan mencerminkan apa yang anda hendak lakukan dengan wang anda dalam tempoh tertentu. Penentuan matlamat akan memastikan anda berbelanja dan menyimpan secara teratur untuk mencapai matlamat anda. Matlamat ini boleh berbentuk jangka masa pendek, sederhana atau panjang bergantung kepada faktor-faktor seperti usia, pendapatan, taraf perkahwinan dan jumlah tanggungan.
Simpanan
Mula menyimpan dari awal. Jangan menunggu sehingga waktu yang sesuai. Lebih awal anda mula menyimpan, lebih banyak wang simpanan anda. Cuba simpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan setiap bulan sebelum berbelanja.
Tingkatkan simpanan anda setiap kali pendapatan anda bertambah, contohnya apabila anda menerima bonus. simpan wang anda dalam akaun simpanan tetap. Dengan faedah yang lebih tinggi berbanding akaun simpanan, wang simpanan anda akan bertambah dengan lebih cepat. Simpan sebelum anda berbelanja bukan sebaliknya.
Kebanyakan orang melakukan ini:
PENDAPATAN - PERBELANJAAN = SIMPANAN/PELABURAN
Anda sepatutnya melakukan ini:
PENDAPTAN - SIMPANAN/PELABURAN = PERBELANJAAN
Dengan cara ini, anda pasti dapat menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh setiap bulan. Wujudkan sebuah tabung kecemasan yang berjumlah 3 hingga 6 bulan perbelanjaan bulanan anda untuk memenuhi keperluan sekiranya terjadi sesuatu perkara atau perbelanjaan yang tidak diingini.
Tabung kecemasan ini akan menghindarkan diri anda daripada berhutang apabila terjadi perrkara seperti ini. Walaubagaimanapun, jangan gunakan wang yang disimpan di dalam tabung ini untuk perbelanjaan harian atau memenuhi matlamat kewangan anda.
Langkah-langkah untuk mewujudkan tabung kecemasan:
- Kira jumlah perbelanjaan bulanan anda, contohnya perumahan, barangan dapur, pengangkutan, utiliti dan pembayaran hutang lain.
- Tetapkan bilangan bulan bagi perbelanjaan bulanan yang anda ingin simpan dalam tabung kecemasan anda.
- Kira jumlah tabung kecemasan anda iaitu jumlah perbelanjaan bulanan.
- Masukkan wand anda ke dalam tabung kecemasan ini.
Melabur
Anda boleh meningkatkan kekayaan anda melalui pelaburan jika anda melabur secara berhemat. Jenis pelaburan yang dipilih adalah bergantung kepada tujuan anda malbur, jadi kenal pasti matlamat pelaburan anda. Tanyakan diri anda:
- Apakah matlamat saya? Apakah yang saya ingin capai melalui pelaburan ini?
- Bagaimanakah tahap risiko yang saya sanggup hadapi?
- Adakah saya memerlukan wang dalam masa terdekat?
- Adakah saya tahu bagaimana pelaburan ini dilakukan bagi membolehkan saya memantau perkembangannya dengan lebih berkesan?
Berwaspada terhadap produk pelaburan yang menjanjikan pulangan yang amat tinggi, contohnya produk yang memberi pulangan lebih tinggi daripada kadar pasaran. Ini dapat menghindari diri anda daripada skim pelaburan palsu. Apabila mendapatkan produk kewangan, pilih produk kewangan dengan teliti supaya mengelak daripada menanggung kerugian kewangan sekiranya anda mengambil keputusan untuk menarik diri atau menamatkan produk tersebut sebelum tarikh matang. Sebelum anda membeli sesuatu produk, anda perlu:
- Kumpulkan maklumat berkaitan produk yang ditawarkan. Bandingkan harga dan ciri-ciri produk tersebut.
- Dapatkan keterangan lanjut sekiranya anda tidak faham. Beli produk kewangan hanya setelah anda mengetahui bagaimana produk itu berfungsi serta syarat dan termanya.
- Ketahui yuran dan caj yang anda perlu bayar sekarang setelah anda membeli produk tersebut. Ini untuk mengelakkan sebarang perbelanjaan tambahan yang tidak dirancang.
- Beri perhatian terhadap klausa pengecualian dalam sesuatu kontrak.
- Pertimbangkan sebarang tawaran dengan teliti. Katakan 'tidak' sekiranya anda tidak memerlukan produk kewangan yang ditawarkan.
- Ketahui bahawa terdapat produk kewangan seperti amanah saham atau insurans/takaful yang memberi tempoh untuk anda membuat keputusan sama ada mahu meneruskan perjanjian setelah anda menandatanganinya.
Ini adalah arikel yang diambil dari majalah wanita tempatan yang saya mahu kongsikan bersama anda dan sebagai peringatan kepada saya.
No comments:
Post a Comment