Kisah ini diambil dari majalah wanita tempatan, cuma untuk tatapan pembaca yang belum pernah membacanya:
Kisah Insan Susah Menyimpan Wang
Ini kisah seorang insan yang susah menyimpan. Satu hari dia sudah muak kerana bertahun-tahun tidak dapat menyimpan, dia lantas mengambil bekas plastik kosong yang kebetulan ada di rumah (tabung kosong percuma).
Setiap hari balik kerja semua duit syiling dalam poket dimasukkan ke dalam bekas tadi. Mana-mana duit syiling yang dijumpai dalam kawasan rumah juga jadi mangsa. Cukup RM10 dia akan kosongkan bekas untuk beli sijil simpanan premium keluaran BSN yang disimpan dalam almari baju. Kemudian bekas diisi semula dengan duit siling.
Kemudian dia membeli sebuah buku nota bersaiz kecil. Dia mencatatkan semua perbelanjaan biar sekecil 10 sen dengan butiran tujuan, tarikh dan jumlah belanja. Ke mana pergi dibawa bersama buku tersebut.
Contoh catatan:
05/01/2011 RM4.00 Sarapan
05/01/2011 RM1.90 Tambang Bas Rapid KL
05/01/2011 RM 1.00 Air Tebu
Kenapa membawa buku nota? Dia sering lupa sesudah membayar sesuatu atau akan berbelanja apa yang perlu sahaja dan segan belanja kerana malas untuk menulis di buku nota. Hasil dari eksperimen selepas dua minggu dia sudah berjaya mengawal perbelanjaan harian.
Suatu hari semasa sedang memberus gigi dia tiba-tiba sedar tentang aliran air dalam singki dan tandas, timbul idea dalam kepalanya. Dia memperuntukkan masa untuk mandi contohnya 8 minit sahaja.
Masa gosok gigi atau cukur guna kole, tidak lagi membiarkan paip mengalir. Setiap bulan paip-paip di rumah diperiksa supaya tidak bocor. Mesin basuh digunakan hanya bila pakaian dalamnya penuh. Kalau ada sehelai dua akan dibasuh dengan tangan serta sabun buku selepas direndam semalaman.
Sama dengan memasak di dapur, sayuran contohnya tidak dibasuh dengan aliran pili tetapi di dalam besen. Begitu juga pinggan mangkuk, sama ada guna besen atau aliran pili tetapi tunggu sehingga bertingkat kemudian dibasuh sekali harung.
Dahulu kalau hujan dia tidak melakukan tindakan kecuali menutup pintu atau tingkap tetapi sekarang dia mula mengumpul air hujan dalam tong plastik besar. Air hujan menjadi sumber air membasuh lantai halaman rumah, bilik air dan dapur. Dia tidak peduli apa yang difikirkan oleh jiran-jiran tenang perangai barunya malah sanggup basah kuyup menrik tong plastik dalam hujan lebat.
Suatu petang ketika menunggu isteri menyiapkan makanan dia merujuk buku nota kecil bahagian makanan lalu membuat kiraan berikut:
Makan tengah hari di gerai dua orang selama 5 hari = RM 10 x 5 = RM 50 seminggu
Sebulan = RM 200.
Katakan makan luar 2 kali sahaja seminggu. RM 10x 2= RM 20. Untuk 3 hari baki sediakan bekal.
Bekal untuk 2 orang, RM 5 untuk 3 hari, RM 5 x 3 = RM15
Jumlah semua RM 15 + RM 20 = RM 35.
Dari RM 50 Seminggu kini cuma RM 35, jimat RM 15 seminggu atau RM 60 sebulan.
Malam hari dia berbincang dengan isteri tentang bawa bekal dari rumah dan berapa kali harus makan di luar dalam seminggu. Timbul suatu idea baru dalam hidup, dia ingin berhenti tabiat merokok tetapi selalu gagal.
Bagaimana dengan idea menjadikan merokok sebagai 1 denda! Setiap kali mencapai rokok dan menghisap satu batang dia masukkan RM 10 ke dalam tabung. Mula-mula dia masih rela merokok walaupun terpaksa membayar denda tetapi lama-kelamaan dia merasakan satu kerugian menukarkan RM10 semata-mata untuk kepuasan selama 5 minit.
Apabila dia menceritakan hal ini kepada rakan-rakannya ada yang ingin turut serta dengan idea baru pula iaitu menurunkan berat badan. Setiap kali ingin makan makanan menggemukkan, masukkan RM 5 ke dalam tabung. Mungkin tabiat-tabiat merokok atau makan tidak boleh dihapuskan terus tetapi sekurang-kurangnya dapat dikurangkan dengan banyak.
Kini sampul-sampul SSP dalam almari bajunya sudah mula bertambah. Memang akaun SSP tidak memberikan pulangan yang banyak cuma ada cabutan bertuah, tetapi bukan itu yang sebab utama dia menabung dalam SSP. Dia mahu memegang secara fizikal hasil usaha serta pengorbanannya. Kalau dilihat dalam buku sahaja rasa macam tak puas. Semakin lama nanti hasil penambahan ilmu dan tabiat menyimpan dia dapat memperbaiki teknik simpanannya ke dunia pelaburan pula.
Akibatnya perbincangan dengan isteri tentang kisah simpanannya ini, si isteri pula memberi cadangan. Kenapa tidak jualkan barangan tidak diperlukan contohnya dalam stor. Benda seperti ini boleh dijual di kedai besi buruk atau kedai-kedai membeli barangan 'second hand' atau sewa gerai di pusat membeli belah untuk jual terus kepada orang ramai. Atau jual di pasaran antarabangsa melalui laman lelongan sepert e-bay. Contoh barangan pinggan mangkuk, buku-buku, majalah, alat-alat elektronik dan pakaian lama.
Akhir kata walaupun sibuk menabung dia tidak lupa bersedekah. Ini kerana seorang Muslim yang berjaya akan kekal bersedekah, walaupun jumlahnya kecil, kerana yakin dengan keberkatan yang ada pada sedekah itu.
-end-
No comments:
Post a Comment